Ikrar Kumpulan

Kami berikrar dan berjanji, akan berusaha untuk belajar mengajar agar pelajar dapat belajar dengan apa yang kami ajar.

Monday, 26 November 2012

Pembelajaran Kooperatif...^_^



Assalamualaikum dan selamat sejahtera...
   Pada kuliah yang lepas, kami telah belajar mengenai pembelajaran koperatif. Pembelajaran koperatif adalah salah satu strategi pengajaran di mana para pelajar telah dipecahkan kepada pasukan kecil dengan tahap keupayaan yang berbeza yang menggunakan pelbagai aktiviti pembelajaran untuk meningkatkan pemahaman mereka. Para pelajar turut belajar untuk membina nilai-nilai murni seperti bekerjasama di dalam kumpulan kecil yang telah dibina, bertanggungjawab dengan apa yang mereka lakukan bersama-sama, membina keyakinan diri terutamanya dalam menyuarakan pendapat serta membantu mereka membina sifat kepimpinan.
     Selain itu, pembelajaran koperatif juga dapat membantu para guru menguruskan pelajar yang ramai dalam sesebuah kelas begi memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun guru perlu bijak memilih jenis - jenis pembelajaran koperatif yang sesuai digunakan di dalam kelas. Guru juga perlu mempunyai kemahiran mengawal kelas semasa menjalankan aktiviti yang melibatkan pembelajaran koperatif.
   Mengikut Kagan (1994), pembelajaran kooperatif bagi golongan berbakat telah membawa banyak keberkesanan atau faedah antarannya adalah dapat membaiki hubungan sosial, meningkatkan pencapaian, meningkatkan kemahiran kepimpinan, meningkatkan kemahiran sosial, meningkatkan tahap kemahiran aras tinggi dan meningkatkan kemahiran teknologi serta meningkatkan keyakinan diri.
  Beberapa bentuk pembelajaran kooperatif adalah seperti kaedah Jigsaw, think-pair share, three steps interview, Round Robin Brainstroming dan sebagainya. Kaedah- kaedah pembelajaran kooperatif ini, amat membantu para pelajar untuk belajar dengan lebih berkesan dan seharusnya semua guru di Malaysia melaksanakan beberapa kaedah ini dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar sistem pendidikan negara dapat dimajukan dan dimantapkan bagi menuju wawasan 2020.
   Sebagai contoh kaedah Jigsaw. Dalam kaedah Jigsaw ini, setiap ahli kumpulan menjadi ‘pakar’ dalam sub-unit sesuatu topik. Setelah masing-masing memahami bahagian masing-masing, setiap 'pakar' mengajarnya pula kepada ahli kumpulan yang lain. Soal-jawab atau perbincangan yang berlaku semasa proses ini membolehkan 'pakar' dan ahli sama-sama memikirkan pembentangan yang diberi, ini meningkatkan pemahaman dan ingatan. Selain dari itu, kaedah ini juga memberi peluang kepada pelajar yang kurang cemerlang dan mengajar mereka untuk menjadi 'pakar' dan mengajar mereka yang mempunyai prestasi akademik lebih baik daripadanya, secara tidak langsung meningkatkan keyakinan diri mereka untuk berkomunikasi. Selepas itu, kuiz bertulis akan dilaksanakan secara individu bagi menguji keberkesanan perbincangan yang dilaksanakan. Kaedah ini amat sesuai digunakan di dalam kelas kerana ia dapat menarik minat pelajar untuk belajar dengan lebih kreatif dan kritis.
     Kesimpulannya, strategi dan perancangan awal amat diperlukan oleh setiap guru yang ingin melaksanakan pembelajaran berbentuk kooperatif ini. Hal ini kerana, perancangan yang baik akan memudahkan guru untuk melaksanakannya di dalam kelas tanpa menimbulkan  sebarang masalah. Bukan itu sahaja, guru juga dinasihatkan agar dapat menguasai dengan lebih mendalam setiap mata pelajaran yang diajar di dalam kelas agar apabila pelajar bertanya, guru dapat menjawab soalan pelajar tadi dengan  mudah, padat dan jelas.